KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional membantu hampir 600,000 usahawan informal dan mikro di seluruh negara bagi memenuhi keperluan modal perniagaan melalui kemudahan pembiayaan kepada para usahawan sektor tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan pembiayaan itu melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM8.85 bilion sejak agensi berkenaan ditubuhkan pada 9 November 1998.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh TEKUN Nasional untuk manfaat rakyat di  Malaysia ini khususnya berkaitan perniagaan.

“Sepanjang 25 tahun beroperasi, TEKUN  Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan dalam bidang keusahawanan seiring dengan perubahan serta kehendak semasa,” katanya dalam satu kenyaataan media pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukkan sebanyak RM330 juta kepada TEKUN Nasional untuk membantu lebih ramai usahawan informal dan mikro.

Menurut Ewon, Kerajaan MADANI beriltizam untuk merangsang lebih banyak penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor keusahawanan berdaya maju dan mapan.

“Ia disokong menerusi pelbagai ikhtiar seperti dana pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan sumbangan PMKS kepada KDNK dapat dicapai sepertimana yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus pada tahun 2030.

“Malah, menerusi pengumuman belanjawan baru-baru ini turut membuktikan peranan TEKUN Nasional yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sangat penting dalam membantu usahawan informal dan mikro sepanjang penubuhannya,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar TEKUN Nasional terus komited dalam  memainkan peranan bagi merealisasikan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara.